Thursday, 20 August 2015

Karangan 12 : Aku Sebuah Telefon Bimbit

                                            

                                             Karangan 12 : Aku Sebuah Telefon Bimbit


             Aku sebuah telefon bimbit yang canggih.Aku bernama Samsung Galaxy S5 dan aku berwarna hitam.Aku dilahirkan di sebuah kilang elektronik yang terletak di Senai, Johor.

          Setelah siap dibuat,aku diletakkan di dalam sebuah kotak.Selepas itu, aku  dihantar ke sebuah kedai telekomunikasi di Skudai.Aku berharga RM1800.Aku berkenalan dengan rakan-rakan seperti Oppo,Sony,Iphone dan sebagainya.Aku dan rakan-rakan dipamerkan di dalam almari kaca.Kami menunggu tuan kami dengan sabarnya.

          Pada suatu hari,seorang wanita berkunjung ke kedai tersebut.Beliau ingin membeli telefon bimbit untuk anaknya sebagai hadiah hari jadi.Beliau membelek-belek aku dan mencuba beberapa fungsi aku yang canggih. Beliau tertarik oleh keanggunan aku lalu membeli aku.Aku dibawa pulang ke rumahnya.

          Tuan aku bernama Anis.Dia pemuda yang rajin dan bertanggungjawab.Anis menjaga aku dengan baik bagai menatang minyak yang penuh.Anis membawa aku ke pejabat semasa bekerja.Rakan Anis memuji kecanggihan aku. Aku berasa bangga dan aku suka akan tuan aku.

           Anis menggunakan aku untuk berhubung dengan kawannya.Aku juga digunakan untuk melayari Internet.Anis selalu menggunakan aku untuk menghantar pesanan ringkas kepada kawan-kawannya.Dia juga bermain permainan komputer atas talian untuk melapangkan fikirannya.

          Tuan aku menggunakan aku dengan cermat.Aku bersyukur kerana mempunyai tuan yang baik.Aku akan terus berkhidmat untuk tuan aku.


Contoh Karangan 11-Sekolah Saya


                                                            Karangan 11: Sekolah Saya

          Sekolah saya bernama SJK (C ) Pu Sze.Sekolah saya terletak di Skudai.
Kawasan sekolah saya besar,ceria dan bersih.
           Bangunan sekolah saya terdiri daripada dua blok,iaitu blok A dan blok B.Terdapat 45 buah bilik darjah di sekolah saya.Di sekolah saya juga terdapat bilik-bilik khas.Antaranya termasuklah dewan kuliah, perpustakaan, makmal sains,bilik muzik,bilik komputer dan kantin.
          Murid-murid di sekolah saya belajar dalam dua sesi,iaitu sesi pagi dan sesi petang.Terdapat kira-kira 150 orang guru dan kira-kira 3000 orang murid belajar di sekolah saya.Guru Besar sekolah saya bernama Ong Min Yock.Beliau seorang guru besar yang peramah,mesra tetapi tegas.Semua guru di sekolah saya berdedikasi, rajin dan bertanggungjawab.Selain itu,murid-murid juga berbudi bahasa dan rajin belajar.
          Murid-murid di sekolah saya juga menyertai pelbagai aktiviti kokurikulum.Antaranya termasuklah pasukan badan beruniform,persatuan,sukan dan permainan.Murid-murid menjalankan aktiviti tersebut pada hari Sabtu.
          Pencapaian murid-murid di sekolah saya sungguh menggalakkan.Mereka sentiasa belajar dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.Murid-murid juga turut mengharumkan nama sekolah dalam pelbagai pertandingan.
          Saya suka akan sekolah saya.Saya suka belajar di sekolah ini kerana sekolah ini selesa dan berpotensi.

Apa khabar murid-murid?

Apa khabar murid-murid?Semoga semua dalam keadaan sihat walafiat!
Peperiksaan UPSR akan menjelang tidak lama lagi,13 hari lagi ya!
Diharap semua murid tahun 6 sudah bersedia!
Cikgu Tan berharap semua calon dapat memperoleh keputusan yang cemerlang terutamanya subjek BM!
Good luck to you.....

Friday, 28 February 2014

Apa khabar murid-murid!

Apa khabar murid-murid?Sudah lama cikgu tidak kemaskinikan bahan kerana kesibukan.Cikgu akan mula aktif tidak lama lagi.Tunggu dulu ya.......

Friday, 31 August 2012

Contoh Karangan 10 : Berkelah di Pantai


                                                       Karangan 10: Berkelah di Pantai
          Pada hari Ahad yang lalu,bapa membawa kami sekeluarga berkelah di Port Dickson.Kami menaiki kereta bapa ke sana.Kami berbual-bual sepanjang perjalanan.
            Setibanya di destinasi,bapa mengeluarkan bekalan dari but kereta.Kami menolong mengangkat barangan lalu meletakkan bekalan kami di bawah sepohon pokok yang rendang.Cuaca pada hari itu cerah dan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa.Kelihatan banyak pengunjung berada di pantai.Suasana di sana riuh-rendah dan meriah.
            Tanpa membuang masa lagi,saya dan adik segera menukar pakaian renang.Kami membawa pelampung besar yang baru dibeli.Saya dan kakak berenang dengan gembira.Abang pula belajar menyelam.Bapa membaca surat khabar manakala ibu mendengar muzik di pantai.Oleh sebab adik tidak pandai berenang,dia melonggok pasir dan membina istana pasir di pantai.
            Setelah penat berenang,kami menjamu selera di pantai.Ibu menyediakan pelbagai hidangan di atas tikar mengkuang.Kami menikmati mi goreng,sate,kuih-muih, tembikai dan jus oren.Kami makan dengan gelojohnya kerana terlalu lapar.Tambahan pula,masakan ibu sungguh enak dan berkhasiat.
            Kemudian,kami bermain bola tampar di pantai.Pemandangan di pantai indah nian.Kami sekeluarga mengambil gambar sebagai kenang-kenangan.Ibu dan bapa juga bersiar-siar di pantai sambil berbual-bual dengan mesranya.
            Kami mengemaskan barangan dan membersihkan tempat perkelahan sebelum pulang.Kami membuang sampah-sarap ke dalam tong sampah demi menjaga kebersihan pantai.Selepas itu,kami pulang dengan gembiranya.Berkelah di pantai merupakan aktiviti yang menyeronokkan.

Contoh Karangan 9:Hari Penyampaian Hadiah


                                                    Karangan 9 : Hari Penyampaian Hadiah

           Pada hari Ahad yang lalu,sekolah saya telah mengadakan Hari Penyampaian Hadiah.Majlis tersebut telah diadakan di dewan kuliah sekolah saya yang berhawa dingin.
            Tujuan diadakan Hari Penyampaian Hadiah adalah untuk menghargai pencapaian murid-murid di sekolah.Pada hari tersebut,semua ibu bapa dijemput hadir ke sekolah.Dewan dan pentas telah dihias dengan belon-belon yang berwarna-warni.Suasana di dewan riuh-rendah dan meriah.
            Pada mulanya,Guru Besar menyampaikan ucapannya.Beliau mengalu-alukan kehadiran ibu bapa dan para tetamu.Beliau mengucapkan tahniah kepada murid yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan menasihati murid-murid yang lain  agar rajin berusaha dan jangan berputus asa.
           Selepas itu,murid-murid menyampaikan persembahan.Ada murid yang berlakon,menyanyi dan menari.Persembahan mereka sungguh menarik.Para penonton memberikan tepukan yang gemuruh.
            Kemudian,Guru Besar menyampaikan hadiah kepada murid-murid yang cemerlang dalam akademik dan ko-kurikulum.Murid-murid kelihatan bangga dan gembira.Saya juga berpeluang naik ke pentas untuk menerima hadiah.Kami juga bergambar bersama Guru Besar sebagai kenangan selepas menerima hadiah.
            Sebelum bersurai,para hadirin dijemput menjamu selera di kantin.Saya berasa gembira dan bersyukur kerana mendapat hadiah cemerlang pada hari yang mulia ini.Saya berjanji akan berusaha dengan lebih gigih lagi.

Terima kasih!

Cikgu Tan ingin mengucapkan terima kasih kepada murid-murid yang melayari blog cikgu.Didapati ramai murid yang suka akan karangan yang cikgu tulis...terima kasih!Kebelakangan ini cikgu sibuk mengendalikan urusan sekolah,oleh itu tiada masa mengemaskinikan blog cikgu.Peperiksaan UPSR akan menjelang beberapa hari lagi,di sini Cikgu Tan ingin mengucapkan selamat mencuba kepada murid-murid tahun 6 dan diharap murid-murid dapat mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan nanti terutamanya mata pelajaran BM!...semoga berjaya...ikhlas daripada Cikgu Tan!

Thursday, 19 July 2012

Contoh karangan 8 : Perpustakaan Sekolah Saya


                                             Karangan 8 : Perpustakaan Sekolah Saya

            Di sekolah saya terdapat sebuah perpustakaan yang besar dan luas.Perpustakaan sekolah saya berhawa dingin dan beroperasi setiap hari.
            Terdapat pelbagai bahan bacaan di perpustakaan sekolah saya.Bahan bacaan tersebut termasuklah buku cerita,buku rujukan,majalah,ensiklopedia dan sebagainya.Semua bahan bacaan tersusun rapi di atas rak dan di dalam almari.
            Pada waktu rehat,murid-murid berkunjung ke perpustakaan untuk meminjam dan memulangkan buku.Ada juga murid yang membuat rujukan,membaca dan mengulang kaji pelajaran di sana.Selain itu, murid-murid juga boleh melayari internet di perpustakaan untuk mencari maklumat.
            Semasa berada di perpustakaan,kita mesti mematuhi peraturan perpustakaan.Kita patut senyap supaya tidak mengganggu murid-murid lain.Sesiapa yang lewat memulangkan buku akan didenda.Kita juga patut menjaga kebersihan dan menghargai buku di perpustakaan.
            Beberapa orang pustakawan yang bertanggungjawab bertugas di perpustakaan.Mereka membantu guru menyusun,membalut dan merekod buku-buku baru.Semua urusan perpustakaan dilaksanakan dengan komputer.
            Saya sentiasa berkunjung ke perpustakaan untuk membaca.Membaca menambahkan ilmu pengetahuan saya agar tidak menjadi katak di bawah tempurung.








Contoh karangan 7:Laporan lawatan ke kilang nanas


                                                      Karangan 7 : Laporan Lawatan

Laporan Lawatan Ke Kilang

            Pada 12 Julai 2015 yang lepas,Persatuan Sains SJK © Pu Sze telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Kilang Nanas Lee Rubber.Kilang nanas tersebut terletak di Skudai.Kami menaiki bas sewa yang berhawa dingin ke sana.
            Rombngan kami terdiri daripada 30 orang murid dan empat orang guru pengiring.Kami diketuai oleh Cikgu Qiaokelic Tan.Tujuan lawatan sambil belajar ini adalah untuk menambahkan pengetahuan dan membolehkan murid melihat bagaimana nanas diproses.
            Setibanya di destinasi,pengurus kilang ,Encik Ooi menyambut kami dengan tangan terbuka.Beliau memberi taklimat ringkas kepada kami.Kami diingatkan supaya mematuhi peraturan kilang semasa berada di dalam kilang.Kemudian,beliau membawa kami melawat kilangnya.
            Rombongan kami dibawa melawat setiap bahagian kilang mengikut kumpulan.Kami melihat bagaimana nanas dipotong,diproses dan ditinkan.Encik Lim juga memberi  penerangan kepada kami.Kami pasang telinga dan mendengar dengan teliti.Selain itu,kami juga menonton tayangan video dan melihat pameran perusahaan nanas di sana.
            Sebelum meninggalkan kilang,kami menikmati jus nanas yang enak.Encik Lim juga menghadiahkan nanas dalam tin kepada kami.Kami mengucapkan terima kasih kepada beliau.Kami berasa gembira menerima buah tangan.
            Rombongan kami tiba di pekarangan sekolah pada waktu tengah hari.Lawatan ini telah meluaskan pandangan dan menambahkan pengetahuan kami.


Disediakan oleh,                                                                                                                        18 JULAI 2015.

______________
(TANG TING TONG)
Setiausaha
Persatuan Sain
SJK ( C ) Pu Sze.


Wednesday, 18 July 2012

Latihan Nilai Murni 4

Tulis empat nilai murni yang dapat kamu peroleh daripada petikan di bawah.Panjang jawapan kamu tidak lebih daripada 40 patah perkataan.Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.

          Yuan Ni menaiki bas ke hospital.Dia ingin melawat kawannya,Salmi yang terlantar di hospital kerana kemalangan.Yuan Ni membawa buah tangan semasa melawat Salmi di hospital.
          Ketika sampai di hospital,seorang jururawat sedang memberikan ubat kepada Salmi.Setelah selesai makan ubat,Salmi bersalaman dengan Yuan Ni.Salmi mengucapkan terima kasih kepada Yuan Ni kerana datang menziarahinya.Kemudian,Yuan Ni menolong mengupas buah epal untuk Salmi.
          Tidak lama kemudian,guru serta kawan-kawan lain tiba.Yuan Ni dan Salmi bersalaman dengan mereka.Salmi menceritakan peristiwa kemalangan yang menimpanya tempoh hari kepada guru an rakan-rakannya.Pada hari kemalangan,sebuah motosikal yang ditunggang dengan laju oleh seorang pemuda merempuh Salmi yang ketika itu hendak menaiki tangga jejantas.Guru-guru dan rakan-rakan berharap agar Salmi akan cepat sembuh.

Contoh Ulasan:
          Kita patut prihatin seperti Yuan Ni melawat kawannya,Salmi yang terlantar di hospital kerana kemalangan.Seterusnya,kita perlu murah hati dengan membawa buah tangan semasa melawat kawan di hospital.Selain itu,kita hendaklah berbudi bahasa seperti Salmi mengucapkan terima kasih kepada Yuan Ni kerana datang menziarahinya.Akhir sekali,kita perlu menjaga keselamatan dengan tidak mencontohi pemuda yang menunggang motosikal dengan laju lalu merempuh Salmi yang ketika itu hendak menaiki tangga jejantas.

Contoh Karangan 6 : Perhimpunan Di Sekolah Saya


                                      Karangan 6 : Perhimpunan Sekolah Saya

           Perhimpunan sekolah saya diadakan pada setiap hari Isnin.Selepas loceng berbunyi,murid-murid beratur dan berkumpul di dewan mengikut kelas masing-masing.

            Pada mulanya,murid-murid berdiri tegak menyanyikan lagu Negaraku dan lagu Negeri Johor.Serentak itu, Jalur Gemilang dinaikkan oleh pengawas.Kemudian,ketua pengawas mengetuai semua murid melafazkan ikrar.Murid-murid membaca ikrar dengan penuh semangat.
            Selepas itu,guru penolong kanan membuat beberapa pengumuman.Beliau selalu menasihati murid-murid agar mematuhi peraturan  dan menjaga kebersihan sekolah.Murid-murid pasang telinga dan mendengar dengan teliti semasa guru berucap.
            Kemudian,Guru Besar dijemput untuk memberikan ucapannya.Beliau menasihati murid supaya rajin belajar untuk memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.Guru Besar juga menyampaikan hadiah kepada murid yang mencapai kejayaan.Beliau mengucapkan tahniah kepada murid yang telah mengharumkan nama sekolah.
            Semasa perhimpunan diadakan,guru bertugas mengawal disiplin murid di dewan.Murid-murid senyap dan berdisiplin semasa perhimpunan dijalankan.Perhimpunan mengambil masa lebih kurang setengah jam. Perhimpunan diakhiri dengan nyanyian lagu sekolah dan lagu 1 Malaysia.
Selepas bersurai,murid-murid beratur dengan tertib untuk pulang ke bilik darjah masing-masing.




Contoh Karangan 5 : Temasya Sukan Tahunan Sekolah

 

                                                       Karangan 5: Temasya Sukan Sekolah Saya         

             Pada hari Ahad yang lepas,sekolah saya telah mengadakan temasya sukan tahunan.Sukan tahunan tersebut diadakan di padang sekolah saya yang luas itu.
            Sebelum sukan diadakan,semua guru dan murid sibuk membuat persiapan.Padang dihiasi dengan panji-panji dan belon-belon yang berwarna-warni.Beberapa buah khemah didirikan di tepi padang.Para peserta sukan berlatih dengan bersungguh -sungguh pada setiap hari.
            Pada hari sukan,semua murid dan guru hadir awal ke sekolah.Para peserta sukan berkumpul di padang.Pengerusi PIBG sekolah merasmikan sukan tersebut.Pelbagai persembahan diadakan seperti pancaragam,yoyo cina,tarian dan sebagainya.Persembahan murid sungguh menarik.Para penonton memberikan  tepukan yang gemuruh.Perbarisan peserta sukan juga diadakan.
            Tujuan diadakan sukan adalah untuk mencungkil bakat dan menyihatkan badan.Pelbagai acara sukan diadakan seperti lompat tinggi,lompat jauh,lumba lari,tarik tali dan sebagainya.Acara lari berganti-ganti menjadi acara kemuncak hari sukan.Para peserta berlari dengan pantas menuju ke garisan penamat.Para penonton bersorak untuk memberi sokongan kepada peserta pasukan masing-masing.Suasana  di padang riuh-rendah dan meriah.
            Acara sukan berakhir pada pukul 12.00 tengah hari.Rumah Merah telah muncul sebagai juara.Kit Seng telah terpilih sebagai olahragawan manakala Siti Fatimah dipilih sebagai olahragawati.Guru Besar menyampaikan piala kepada para pemenang.Beliau mengucapkan tahniah kepada murid yang berjaya dan menasihati murid yang tidak berjaya supaya tidak berputus asa.
            Selepas majlis penyampaian hadiah tamat,murid-murid pulang ke rumah dengan gembiranya walaupun kelihatan letih.

Contoh Karangan 4 : Melawat Ke Pameran Buku


                                                 Karangan 4 : Melawat ke Pameran Buku

           Pada cuti sekolah yang lalu,bapa membawa kami sekeluarga berkunjung ke pameran  buku.Pameran buku tersebut diadakan di dewan sekolah saya yang besar dan berhawa dingin.Kami menaiki kereta  bapa ke sana.

            Setibanya di destinasi,kelihatan ramai pengunjung telah membanjiri dewan sekolah.Saya dapat melihat banyak murid ditemani ibu bapa masing-masing.Mereka sedang memilih dan membeli buku.Suasana di pameran buku sungguh riuh dan meriah.
            Terdapat pelbagai bahan bacaan dipamerkan di sana.Antaranya termasuklah buku rujukan,buku cerita,majalah,ensiklopedia  dan sebagainya.Semua bahan bacaan tersusun rapi di atas rak buku dan meja.Selain itu,alat tulis dan kamus elektronik juga dipamerkan di sana.

            Tujuan diadakan pameran buku adalah untuk memupuk minat membaca dalam kalangan murid .Banyak penerbit buku menyertai pameran tersebut.Semua buku diberi potongan harga istimewa.Para pengunjung berasa gembira  berpeluang membeli bahan bacaan bermutu dengan harga yang berpatutan.
            Saya telah membeli sebuah ensiklopedia dan dua buah buku rujukan UPSR manakala kakak pula membeli buku cerita dan alat tulis.Emak juga berjaya memperoleh dua buah buku resipi yang digemarinya.Kemudian,kami sekeluarga membayar harga di kaunter.Kami berpuas hati dengan buku yang kami beli.
            Selepas itu,kami sekeluarga pulang ke rumah dengan perasaan gembira.Lawatan ke pameran buku telah menambahkan pengetahuan kami.

Salam sejahtera murid-murid Cikgu Tan

     Masa berlalu begitu cepat sekali,peperiksaan UPSR 2012 hampir menjelang! Minggu depan 24 Julai 2012 peperiksaan percubaan UPSR akan bermula. Sudahkah murid-murid bersedia untuk menghadapi peperiksaan tersebut?
     Cikgu yakin murid-murid telah bersedia ya? Di sini,Cikgu Tan berharap semua murid dapat mengulang kaji pelajaran sepenuhnya agar mampu memperoleh keputusan yang cemerlang nanti! Malaysia boleh,murid-murid mesti BOLEH!

Wednesday, 30 May 2012

Latihan : Kata Hubung

Pilih dan isikan tempat kosong dengan kata hubung yang sesuai.

( walaupun   supaya   kerana   tentang   untuk   melainkan   sehingga
   manakala   sementara   sambil   sebelum    ketika   selepas   sekiranya   )

1. Ampaian itu akan dicat ______________ tidak mudah berkarat.
2. Janganlah sentuh suis elektrik ____________ tangan kamu basah.
3. Dia gemar membaca ______________ adiknya pula suka mengumpul setem.
4. Puan Minah menjemur pakaian pada setiap hari ____________ hari hujan.
5. Mereka sedang berbincang ______________cara mengatasi masalah yang dihadapi.
6. Semua murid menumpukan perhatian ____________ guru mengajar.
7. Kami membaca buku cerita _____________ menunggu guru masuk ke kelas.
8. Lif itu tidak boleh digunakan hari ini ____________ sudah rosak.
9. Resit tidak akan dikeluarkan ____________ bayaran dibuat.
10. Dia masih dahaga ______________ telah menghabiskan segelas air tadi.

Contoh Karangan 3: Ke Dusun Buah-buahan


           Karangan 3: Ke Dusun Buah-buahan

       Pada musim buah-buahan yang lepas,bapa membawa kami sekeluarga berkunjung ke dusun buah-buahan datuk yang terletak di hujung kampung.Kami berkunjung ke sana dengan menaiki kereta bapa yang baharu.
          Setibanya di destinasi,datuk menyambut kami dengan tangan terbuka.Kemudian,beliau membawa kami melawat dusunnya.Terdapat pelbagai jenis pokok di dusun datuk.Antaranya termasuklah pokok durian,pokok manggis,pokok rambutan dan sebagainya.Semua pokok buah-buahan di dusun datuk berbuah lebat.
         Saya menolong datuk mengutip buah durian yang gugur.Bau buah durian sungguh harum dan enak.Durian-durian yang dikutip diletakkan di dalam bakul yang besar.Abang dan kakak pula mengait buah rambutan dengan galah yang panjang.Rasa buah rambutan manis dan lazat.
          Di dusun datuk terdapat sebuah pondok yang besar.Kami meletakkan buah-buahan di pondok tersebut.Datuk mengopek buah durian untuk kami.Kami berehat di pondok sambil menikmati keenakan durian.Selain itu,kami juga menjamah buah manggis dan langsat.
          Sebelum pulang,datuk memberi beberapa jenis buah-buahan kepada kami sebagai buah tangan.Kami mengucapkan terima kasih kepada datuk.Selepas itu,kami meminta diri untuk pulang ke rumah.
           Berkunjung ke dusun buah-buahan merupakan pengalaman baru saya.Saya amat menghargai pengalaman sedemikian dan berharap dapat berpeluang ke dusun lagi pada masa akan datang.

Friday, 18 May 2012

Ribuan Terima kasih

Cikgu Tan ingin mengucapkan terima kasih kepada murid-murid kerana memberikan hadiah dan kad ucapan Hari Guru kepada cikgu.Cikgu Tan menghargai setiap pemberian murid.Terima kasih!Cikgu Tan berharap agar murid-murid dapat belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.Rajin berusaha tangga kejayaan!...jiayou...jiayou!

                                                                    Hadiah Hari Guru

Saturday, 12 May 2012

Selamat Hari Guru

Tema Hari Guru 2012:
Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara

Wednesday, 9 May 2012

Bahagian C (Ujian Diagnostik 2)

Tulis empat nilai murni yang dapat kamu peroleh daripada petikan di bawah.
Panjangnya jawapan kamu hendaklah tidak lebih daripada 40 patah perkataan.
Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.

      Encik Chan ialah seorang pemandu teksi.Dia bekerja setiap hari untuk mencari rezeki bagi menyara keluarganya.Encik Chan merupakan seorang pemandu teksi yang baik.Dia tidak pernah mengambil kesempatan atau mengenakan tambang yang terlalu tinggi kepada penumpang teksinya.
      Pada suatu hari,Encik Chan telah dimasukkan ke hospital akibat kemalangan jalan raya.Encik Lim dan keluarganya telah melawat Encik Chan di hospital.Mereka membawa sebakul buah-buahan sebagai buah tangan.Encik Lim bertanya khabar Encik Chan.Beliau juga menasihati Encik Chan supaya mengikut nasihat doktor dengan memakan ubat mengikut waktu yang telah ditetapkan.
      Encik Chan mengucapkan terima kasih kepada Encik Lim dan keluarganya kerana sudi meluangkan masa untuk melawatnya di hospital.

Contoh Jawapan:
       Kita hendaklah bertanggungjawab seperti Encik Chan bekerja setiap hari untuk mencari rezeki bagi menyara keluarganya.Seterusnya,kita patut prihatin seperti Encik Lim dan keluarganya melawat Encik Chan di hospital.Selain itu,kita juga perlu bermurah hati seperti Encik Lim dan keluarganya membawa sebakul buah-buahan sebagai buah tangan semasa melawat Encik Chan di hospital.Akhir sekali,kita patut berbudi bahasa seperti Encik Chan mengucapkan terima kasih kepada Encik Lim dan keluarganya yang sudi melawatnya di hospital.

Bahagian A (Bina 5 Ayat)

Berikut ini ialah kertas Ujian Diagnostik 2 BM Kertas 2
Soalan Ujian Diagnostik 2 (Mei) Tahun 6 2012





Contoh jawapan murid:
1.Encik Lee duduk di atas bangku sambil membaca surat khabar untuk mengetahui berita terkini.
2.Ah Seng minum jus oren untuk menghilangkan dahaga manakala adiknya menikmati setongkol
   jagung yang enak.
3.Faizal dan kawannya menunggang basikal dengan berhati-hati untuk menjaga keselamatan diri.
4.Ali dan adiknya mengayun buaian sambil berbual-bual dengan gembiranya.
5.Encik Wong dan isterinya berjoging di taman rekreasi untuk menyihatkan badan.