Friday 31 August 2012

Contoh Karangan 10 : Berkelah di Pantai


                                                       Karangan 10: Berkelah di Pantai
          Pada hari Ahad yang lalu,bapa membawa kami sekeluarga berkelah di Port Dickson.Kami menaiki kereta bapa ke sana.Kami berbual-bual sepanjang perjalanan.
            Setibanya di destinasi,bapa mengeluarkan bekalan dari but kereta.Kami menolong mengangkat barangan lalu meletakkan bekalan kami di bawah sepohon pokok yang rendang.Cuaca pada hari itu cerah dan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa.Kelihatan banyak pengunjung berada di pantai.Suasana di sana riuh-rendah dan meriah.
            Tanpa membuang masa lagi,saya dan adik segera menukar pakaian renang.Kami membawa pelampung besar yang baru dibeli.Saya dan kakak berenang dengan gembira.Abang pula belajar menyelam.Bapa membaca surat khabar manakala ibu mendengar muzik di pantai.Oleh sebab adik tidak pandai berenang,dia melonggok pasir dan membina istana pasir di pantai.
            Setelah penat berenang,kami menjamu selera di pantai.Ibu menyediakan pelbagai hidangan di atas tikar mengkuang.Kami menikmati mi goreng,sate,kuih-muih, tembikai dan jus oren.Kami makan dengan gelojohnya kerana terlalu lapar.Tambahan pula,masakan ibu sungguh enak dan berkhasiat.
            Kemudian,kami bermain bola tampar di pantai.Pemandangan di pantai indah nian.Kami sekeluarga mengambil gambar sebagai kenang-kenangan.Ibu dan bapa juga bersiar-siar di pantai sambil berbual-bual dengan mesranya.
            Kami mengemaskan barangan dan membersihkan tempat perkelahan sebelum pulang.Kami membuang sampah-sarap ke dalam tong sampah demi menjaga kebersihan pantai.Selepas itu,kami pulang dengan gembiranya.Berkelah di pantai merupakan aktiviti yang menyeronokkan.

Contoh Karangan 9:Hari Penyampaian Hadiah


                                                    Karangan 9 : Hari Penyampaian Hadiah

           Pada hari Ahad yang lalu,sekolah saya telah mengadakan Hari Penyampaian Hadiah.Majlis tersebut telah diadakan di dewan kuliah sekolah saya yang berhawa dingin.
            Tujuan diadakan Hari Penyampaian Hadiah adalah untuk menghargai pencapaian murid-murid di sekolah.Pada hari tersebut,semua ibu bapa dijemput hadir ke sekolah.Dewan dan pentas telah dihias dengan belon-belon yang berwarna-warni.Suasana di dewan riuh-rendah dan meriah.
            Pada mulanya,Guru Besar menyampaikan ucapannya.Beliau mengalu-alukan kehadiran ibu bapa dan para tetamu.Beliau mengucapkan tahniah kepada murid yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan menasihati murid-murid yang lain  agar rajin berusaha dan jangan berputus asa.
           Selepas itu,murid-murid menyampaikan persembahan.Ada murid yang berlakon,menyanyi dan menari.Persembahan mereka sungguh menarik.Para penonton memberikan tepukan yang gemuruh.
            Kemudian,Guru Besar menyampaikan hadiah kepada murid-murid yang cemerlang dalam akademik dan ko-kurikulum.Murid-murid kelihatan bangga dan gembira.Saya juga berpeluang naik ke pentas untuk menerima hadiah.Kami juga bergambar bersama Guru Besar sebagai kenangan selepas menerima hadiah.
            Sebelum bersurai,para hadirin dijemput menjamu selera di kantin.Saya berasa gembira dan bersyukur kerana mendapat hadiah cemerlang pada hari yang mulia ini.Saya berjanji akan berusaha dengan lebih gigih lagi.

Terima kasih!

Cikgu Tan ingin mengucapkan terima kasih kepada murid-murid yang melayari blog cikgu.Didapati ramai murid yang suka akan karangan yang cikgu tulis...terima kasih!Kebelakangan ini cikgu sibuk mengendalikan urusan sekolah,oleh itu tiada masa mengemaskinikan blog cikgu.Peperiksaan UPSR akan menjelang beberapa hari lagi,di sini Cikgu Tan ingin mengucapkan selamat mencuba kepada murid-murid tahun 6 dan diharap murid-murid dapat mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan nanti terutamanya mata pelajaran BM!...semoga berjaya...ikhlas daripada Cikgu Tan!